SejarahPRamlee

Tan Sri P. Ramlee PSM, AMN dilahirkan dengan bakat seni yang besar dan hebat. Perjuangan selama 25 tahun dalam bidang seni membawanya ke mercu kejayaan sebagai penyanyi, penggubah lagu, pemuzik, pelakon, pengarah filem, dan sebagai pengusaha filem yang terkenal di Malaysia dan Singapura.

Ramli bin  Puteh @Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh atau nama seninya P. Ramlee telah dilahirkan pada hari Jumaat (pagi Aidilfitri) 22 Mac 1929 di Pulau Pinang. Beliau lahir di rumah neneknya yang sekarang dijadikan sebagai Muzium P. Ramlee di Counter Hall (sekarang diganti namanya menjadi Jalan P. Ramlee), Pulau Pinang. Bapanya, Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim yang berasal dari Lhokseumawe, Aceh, telah mendirikan rumah tangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa (dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee mulai November 2011) serta di Sekolah Francis Light dan seterusnya di Sekolah Penang Free sehinggalah meletus Perang Dunia Kedua.

1a
Rumah P. Ramlee yang terletak di Lot 2180, Jalan P. Ramlee, 10460 Pulau Pinang
Gambar ayah dan ibu P. Ramlee
Gambar ayah dan ibu P. Ramlee
Kad Pengenalan P. Ramlee yang didaftarkan pada 16 Jun 1964 selepas beliau berhijrah dari Singapura ke Malaysia
Nama yang tertulis di bahagian belakang Kad Pengenalan ialah Ramli bin Puteh @ P. Ramlee

 

Zaman Persekolahan P. Ramlee

P. Ramlee telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa (dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee mulai November 2011) serta di Sekolah Francis Light dan seterusnya di Sekolah Penang Free sehinggalah meletus Perang Dunia Kedua.

Semenjak dibangku sekolah lagi P. Ramlee telah menonjolkan bakat dalam bidang seni nyanyi dan seni lakon. Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf “P” (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

P. Ramlee semasa di sekolah rendah
P. Ramlee semasa di sekolah rendah
P. Ramlee semasa di Sekolah Penang Free, Pulau Pinang pada tahun 1947 (barisan belakang,  3 dari kiri)
P. Ramlee semasa di Sekolah Penang Free, Pulau Pinang pada tahun 1947 (barisan belakang, 3 dari kiri)

 Kerjaya Sebagai Seorang Pelakon dan Pengarah Filem

P. Ramlee sebagai Pengarah Filem
P. Ramlee sebagai Pengarah Filem

Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah “Chinta” pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon dalam 27 buah filem antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru P. Ramlee dalam dunia perfileman Melayu ialah Datuk L. Krishnan (Pengarah filem Melayu tahun 50-an dan 60-an yang terkenal). Gaya lakonan P. Ramlee yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi P. Ramlee daripada dua pelakon terkenal India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan.

Lagu pertama ciptaan P. Ramlee ialah Azizah yang ditulis pada 1945 dan ditujukan pada gadis pujaannya iaitu Azizah. Tawaran yang akhirnya mengubah keseluruhan hidupnya itu datang daripada Rajhans yang kemudiannya mengajak P. Ramlee ke Singapura untuk bekerja di Studio Jalan Ampas (Malay Film Productions/MFP).

‘Bulan jatuh ke riba’ bagi P.Ramlee pada tarikh 1 Jun 1948 apabila ditemui oleh pengarah filem Tamil, B.S.Rajhans. Pengarah tersebut tertarik pada bakat P. Ramlee dan pada tahun 1949 ia telah direalitikan melalui filem Nasib (Fate). Tujuh tahun kemudian, P Ramlee mengarahkan filem pertamanya Penarik Becha (The Trishaw Man). Pada tahun 1957, P. Ramlee mengarahkan filem komedi pertamanya, Bujang Lapok (Dowdy Bachelors) dan beliau berlakon bersama S. Samsuddin dan Aziz Sattar, yang masih popular di kalangan peminat masa kini.

Antara filem-filem ‘box-office’ beliau ialah:

  • Anakku Sazali
  • Semerah Padi
  • Bujang Lapok
  • Antara Dua Darjat
  • Seniman Bujang Lapok
  • Ibu Mertuaku
  • Labu-Labi
  • Madu Tiga
Gaya seorang pengarah filem yang unggul
Gaya seorang pengarah filem yang unggul
Antara poster filem yang dilakon dan diarahkan oleh P. Ramlee
Antara poster filem yang dilakon dan diarahkan oleh P. Ramlee

Sepanjang berada di Singapura, beliau sempat mengarahkan 16 buah filem dan selepas kembali ke Kuala Lumpur pada 16 April 1964 beliau menghasilkan 18 buah filem bermula dengan Si Tora Harimau Jadian sehingga yang terakhir iaitu Laksamana Do Re Mi (1972). Dalam penciptaan lagu, beliau seringkali menerima bantuan penulis lirik seperti S.Sudarmaji, Jamil Sulong, HM. Rohaizad dan Ainol Jamal. Ketika hayatnya, P. Ramlee mencipta kira-kira 1000 lagu. Dalam pemikiran terbuka, P. Ramlee gemar menerapkan pelbagai rentak muzik seperti rentak melayu tradisional, tempo waltz, rumba, cha-cha, twist, timur tengah, cina dan Hindustan.

ANTARA DIALOG DALAM CERITA P. RAMLEE:

“Walaupun rupamu tidak ku kenal, tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku…” (Seniman Bujang Lapok-Aziz)
Alkisaaahhh…Tayiiibbb…Alkisah maka tersebutlah kisaaahhh… Tayiiibbb… Sang kancil datang beramai-ramai menghadap ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Firaauuuunnn…. Mana Firauunn pakai sultan… entah…” (Pendekar Bujang Lapok –Ramli, Aziz dan Sudin)
“1 untuk engkau, 1 untuk aku…2 untuk engkau, 2 untuk aku… 3 untuk engkau,3 untuk aku…lepas 3 apa? Hentam sajalah… hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku… lepas hentam sajalah?… Bedallah… Bedallah untuk engkau..bedallah untuk aku… eh, dalam dunia mana ada huruf bedallah… eh dalam dunia mana ada huruf bedallah untuk engkau, eh dalam dunia mana ada huruf bedallah untuk aku…” (Nujum Pak Belalang – Badan dan Nyawa)
“Alamaaakkk…nombor dua lagilah. Apa boleh buat, nombor dua lagilah. Mari kita lihat, siapa yang kena…” (Ali Baba Bujang Lapok – sarjan)
Adegan lakonan P. Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok
Adegan lakonan P. Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok
Adegan lakonan P. Ramlee bersama AR Tompel dan Ibrahim Din dalam filem Do Re Mi
Adegan lakonan P. Ramlee bersama AR Tompel dan Ibrahim Din dalam filem Do Re Mi

Filem terakhir lakonan beliau ialah “Laksamana Do Re Mi” pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah “Ayer Mata Di Kuala Lumpur” pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Kerjaya sebagai Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik

P. Ramlee hanya hadir ke sekolah sebanyak 10 hari dalam sebulan. Selebih hari-harinya banyak dihabiskan dengan ke sana ke mari mengikut pasukan pancaragam. Sejak kecil lagi P. Ramlee memang berminat bermain muzik. Tidak hairanlah jika banyak masa dihabiskan di rumah Tuan Kamaruddin untuk belajar bermain gitar dan biola. P. Ramlee juga menjadi penyusun lagu-lagu pancaragam bernama Mustika. Ketika itu P. Ramlee mula mencipta lagu seperti Azizah, Baidah, Abang Dollah, Mee Jawa, Joget Melayu, Malam Thaipusam, dan Padang Kota.

P. Ramlee menyertai pertandingan menyanyi di Radio Malaya, Pulau Pinang kali pertama pada 1945. Tempat ke-4 pada tahun itu dan melonjak ke tempat ke 2 untuk tahun berikutnya. Menjadi juara penyanyi untuk Utara Malaya anjuran Radio Malaya. Kemudian bakat P. Ramlee berkembang setelah beliau berhijrah ke Singapura. Lagu-agu ciptaannya banyak dimuatkan dalam filem-filem Malay Film Productions di Singapura dan Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur.

Bakat P. Ramlee dalam nyanyian dan bermain alat muzik yang luar biasa
Bakat P. Ramlee dalam nyanyian dan bermain alat muzik yang luar biasa

Pada tahun 1951, lagu-lagu P. Ramlee mula direkodkan di dalam piring hitam. Kebanyakan lagu adalah dari filem-filem lakonannya. Banyak pengalaman yang ditempuhinya dalam usahanya merakam lagu. Lagu-lagu P. Ramlee tidak bosan kita mendengarnya, bahkan indah kedengaran ditelinga kita. Pembawaan suaranya menggema merdu, lagu-lagunya membawa irama manis. Menjadi nyanyian dan siulan umum. Terkenalnya lagu-lagu itu bertambah terpuja nama P. Ramlee sebagai bintang filem dan sebagai biduan.

Menurut P. Ramlee, mencipta lagu adalah bergantung kepada jiwa penciptanya. Jika pencipta sesuatu lagu itu sedang dirundung duka, maka lagu yang terhasil dia tidak dapat melahirkan satu lagu yang berirama gembira. Jika pencipta lagu itu sedang bergembira, dia tidak dapat menggambarkan bagaimana tekanan jiwa yang duka. P. Ramlee juga menekankan penciptaan lagu bukanlah paksaan. Tetapi bergantung kepada ilham yang datang. Kesinambungan antara irama dan lagu perlu. Banyak proses yang perlu dibuat untuk menghasilkan sesebuah lagu. Itulah dapur seorang ahli muzik yang menyiapkan resepi dan buburnya untuk hidangan umum.

Antara lagu beliau yang popular dan menjadi kegemaran ramai ialah seperti:

  • Anak Ku Sazali
  • Azizah
  • Barang Yang Lepas
  • Berkorban Apa Saja
  • Bulan Dipagar Bintang
  • Bunyi Gitar
  • Dendang Perantau
  • Di Mana kan Ku Cari Ganti
  • DoReMi
  • Engkau Laksana Bulan
  • Getaran Jiwa
  • Jangan Tinggal Daku
  • Jeritan Batin Ku
  • Menceceh Bujang Lapuk
  • Putus Sudah Kasih Sayang
P. Ramlee bersama rakan-rakan bermain muzik
P. Ramlee bersama rakan-rakan bermain muzik
P. Ramlee juga berkebolehan mengajar dan mengarah muzik
P. Ramlee juga berkebolehan mengajar dan mengarah muzik
Antara alat muzik yang boleh dimainkan oleh P. Ramlee
Antara alat muzik yang boleh dimainkan oleh P. Ramlee
P. Ramlee bersama Teruna Sekampong (1947)
P. Ramlee bersama Teruna Sekampong (1947)
P. Ramlee bersama Orkes Mutiara (1946)
P. Ramlee bersama Orkes Mutiara (1946)
P. Ramlee bersama Sinaran Bintang (1946)
P. Ramlee bersama Sinaran Bintang (1946)
P. Ramlee bersama  Pancaragam Mustika (1948)
P. Ramlee bersama Pancaragam Mustika (1948)

Lagu dan lirik terakhirnya adalah “Ayer Mata Di Kuala Lumpur” pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Kejayaan, Anugerah dan Penghargaan

Pembuktian kepada kebolehan seseorang ialah dengan anugerah. Sebagai seniman agung, P.Ramlee telah banyak memenangi anugerah baik di peringkat dalam mahupun luar negeri. Kemenangan meraih anugerah inilah yang menyebabkan namanya dijulang.

P. Ramlee ketika menerima bintang Ahli Mangku Negara (AMN) dari  DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-3 pada 1962
P. Ramlee ketika menerima bintang Ahli Mangku Negara (AMN) dari
DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-3 pada 1962

Berikut adalah senarai kepada anugerah yang pernah diterima P.Ramlee sepanjang riwayatnya yang telah diketahui setakat ini:

1945

♦ Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya

“Tempat ke-3” – P. Ramlee

1946

♦ Pertandingan Nyanyian Keroncong Pulau Pinang

              “Tempat Pertama” – P.Ramlee dan Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia

♦ Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya

“Tempat ke-2” – P.Ramlee

1947

♦ Pertandingan Nyanyian Radio Pulau Pinang Malaya

“Tempat pertama” – P.Ramlee

1951

♦ Majalah Filem Raya Malaya

“Bintang Pujaan Malaya and Indonesia” – P.Ramlee

1952

♦ Majalah Filem Raya Malaya

“Pelakon Terbaik” – P.Ramlee
“Filem Terbaik” – Antara Senyum Dan Tangis
“Filem Kegemaran” – Juwita

1953

♦ Majalah Filem Raya Malaya

“Filem Terbaik” – Hujan Panas
“Pelakon Terbaik” – P.Ramlee
“Filem Kegemaran Malaya” – Antara Senyum Dan Tangis
“Filem Kegemaran Malaya dan Indonesia” – Antara Senyum Dan Tangis
“Pelakon Kegemaran Malaya dan Indonesia” – P.Ramlee

♦ Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya

“Artis Tahunan 1953” – P.Ramlee
“Filem Terbaik” – Hujan Panas

♦ Radio Malaya

“Penyanyi Lelaki Terbaik” – P.Ramlee

1956

♦ Festival Filem Asia ke-3 Hong Kong

“Skor Muzik Terbaik” – P.Ramlee
“Pelakon Pembantu Wanita Terbaik” – Zaiton bagi Hang Tuah

♦ Majalah Bintang Singapura

“Seniman Terbaik” – P.Ramlee
“Pengarah Terbaik” – P.Ramlee
“Penggubah Terbaik” – P.Ramlee
“Penyanyi Terbaik” – P.Ramlee
“Filem Terbaik” – Semerah Padi
“Filem Kedua Terbaik” – Anakku Sazali
“Pengarah Kedua Terbaik” – Phani Majumdar bagi Anakku Sazali
“Pelakon Wanita Terbaik” – Saadiah Baharom bagi Semerah Padi

♦ Majalah Filem dan Sukan Utusan Malaya

“Filem Melayu Terbaik” – Penarik Beca
“Pengarah Terbaik” – P.Ramlee
“Seniman Terbaik” – P.Ramlee
“Lagu Terbaik” – Inang Baru dari Penarik Beca

1957

♦ Festival Filem Antarabangsa Berlin

Terpilih untuk Tayangan – Hang Tuah

♦ Festival Filem Asia ke-4 Tokyo

“Pelakon Lelaki Terbaik” – P.Ramlee
“Pelakon Kanak-kanak Terbaik” – Tony Castillo bagi Anakku Sazali

1958

♦ Festival Filem Asia ke-5 Manila

“Fotografi Hitam Putih Terbaik” – Abu Bakar Ali bagi Sumpah Orang Minyak

♦ Majalah Kisah Bintang Dan Filem Malaya

“Seniman Terbaik” – P.Ramlee
“Filem Terbaik” – Sumpah Orang Minyak
“Lagu Kedua Terbaik” – Tudung Periuk dari Sumpah Orang Minyak

1959

♦ Festival Filem Asia ke-6 Kuala Lumpur

“Filem Komedi Terbaik” – Pendekar Bujang Lapok

1960

♦ Majalah Gelanggang Singapura

“Filem Paling Popular” – Pendekar Bujang Lapok
“Fotografi Hitam dan Putih Terbaik” – Nujum Pak Belalang

♦ Majalah Bintang Singapura

“Filem Kegemaran” – Pendekar Bujang Lapok
“Pengarah Kegemaran” – P.Ramlee
“Fotografi Hitam dan Putih Terbaik” – Abu Bakar Ali bagi Nujum Pak Belalang
“Seniman Teratas” – P.Ramlee
“Lagu Kegemaran” – Jangan Adik Angan-Angan dari Musang Berjanggut

♦ Festival Filem Asia ke-7 Tokyo

              “Filem Komedi Terbaik” – Nujum Pak Belalang

1962

♦ Festival Filem Asia ke-9 Tokyo

Pencalonan bagi “Filem Komedi Terbaik” – Seniman Bujang Lapok

Darjah Kurnia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Jamalullail

“Ahli Mangku Negara” – P. Ramlee A.M.N.

1963

♦ Festival Filem Asia ke-10 Tokyo

“Fotografi Hitam dan Putih Terbaik” – Abu Bakar Ali bagi Ibu Mertuaku
“Bakat Paling Pelbagai” – P.Ramlee

1964

♦ Festival Filem Asia ke-11 Taipei

“Filem Komedi Terbaik” – Madu Tiga

1965

♦ Festival Filem Dunia Paris

“Anugerah Khas” – Ibu Mertuaku

Anugerah yang paling besar buat dirinya semasa hayat ialah penganugerahan Ahli Mangku Negara (AMN) oleh DYMM Yang Dipertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Jamalullail, di Istana Negara Kuala Lumpur pada 3 Julai 1962. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya dalam dunia seni tanah air, P. Ramlee telah dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota oleh DYMM Yang Dipertuan Agong yang ke-9, Sultan Azlan Shah pada 6 Jun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. P.Ramlee yang telah diwakili oleh anaknya iaitu Nasir.

Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai “Pustaka Peringatan P Ramlee” pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P. Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran “doktor”. Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak,dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak “Datuk Amar Bintang Kenyalang” (Posthumous) (DA (P)) pada 2009. Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau, iaitu Dian P.Ramlee.

Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, P. Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program “Anak Gemilang Malaysia” yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia.

P. Ramlee bersama anugerah-anugerah lain yang diterima
P. Ramlee bersama anugerah-anugerah lain yang diterima

Antara nama tempat dan bangunan yang telah diberi nama sebagai tanda penghormatan kepada P. Ramlee ialah:

  • Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang (dahulunya dikenali sebagai Counter Hall; sejak 30 Ogos 1983)
  • Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur (dahulunya dikenali sebagai Jalan Parry; sejak 1982)
  • Bangunan P. Ramlee, Sekolah Kebangsaan Hulu Klang, Selangor (digunakan sebagai latar belakang dalam filem Masam Masam Manis)
  • Jalan P. Ramlee, Kuching, Sarawak ( dahulunya dikenali sebagai Jalan Jawa)
  • Auditorium P. Ramlee ( dahulunya dikenali sebagai Auditorium RTM )
  • Sek Keb Tan Sri P. Ramlee, Georgetown, Pulau Pinang ( dahulunya dikenali sebagai SK Kampung, sejak 13 November 2011)
Sek. Keb. Tan Sri P. Ramlee di Pulau Pinang yang ditukar nama  dari  Sek. Keb Kampong Jawa sebagai penghormatan
Sek. Keb. Tan Sri P. Ramlee di Pulau Pinang yang ditukar nama dari
Sek. Keb Kampong Jawa sebagai penghormatan

Perkahwinan dan Isteri-Isteri

P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. P.Ramlee buat pertama kalinya mendirikan rumah tangga dengan anak salah seorang seniman ketika itu. Isterinya yang dimaksudkan ialah Junaidah Daeng Haris, berkahwin pada tahun 1950 dan bercerai pada tahun 1954. Kemudian mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata, iaitu Mohamad Nasir dan Arfan. Wanita dalam hidup P. Ramlee menyintai beliau atas sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintai P. Ramlee ketika beliau masih belum ternama.

Setelah bercerai pada tahun 1954, P.Ramlee berkahwin dengan Noorizan Mohd Noor pada 6 Februari 1955. Namun begitu perkahwinan mereka tidak dapat bertahan lama. Mereka bercerai pada tahun 1961. Perkahwinan kedua P. Ramlee dengan Noorizan, seorang kerabat diraja Perak yang sanggup meninggalkan alam istana demi orang yang dicintainya itu. Walau bagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi P. Ramlee lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seninya yang menyebakan perkahwinan mereka retak.

Kali terakhir P. Ramlee berkahwin adalah dengan Salmah Ismail (Saloma) pada 21 November 1961 dan jodoh mereka kekal hingga ke akhir hayat. Saloma menyintai P. Ramlee seadanya, iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

P. Ramlee bersama isteri-isterinya: Junaidah, Norizan dan Saloma
P. Ramlee bersama isteri-isterinya: Junaidah, Norizan dan Saloma

Anak-Anak P. Ramlee

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah, iaitu Nasir dan Arfan. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami dari filem 3 Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contoh Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak).

Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:

  • Mohamad Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
  • Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
  • Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
  • Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
  • Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
  • Armali bin Aman Ramlie: Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
  • Betty : Anak angkat
  • Zakiah bte Ahmad @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
  • Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
  • Salfarina bte Mum @ Dian P. Ramlee: Anak angkat Saloma (keturunan Cina)
P. Ramlee bersama Norizan dan anak-anak
P. Ramlee bersama Norizan dan anak-anak
P. Ramlee bersama Saloma dan anak-anak
P. Ramlee bersama Saloma dan anak-anak

Hilangnya Seorang Seniman

Setiap insan yang hidup pasti akan mati. P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Selepas pemergian pula Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai “Pustaka Peringatan P.Ramlee” pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran “doktor”.

Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, P. Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program “Anak Gemilang Malaysia” yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia.

Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk “P. Ramlee – The Musical… Hidup, Cinta and Inspirasi”

Berita Kehilangan Mengejut P. Ramlee

'TIDAK mungkin akan lahir seorang lagi P. Ramlee'
‘TIDAK mungkin akan lahir seorang lagi P. Ramlee’
P. Ramlee dies of heart attack (P. Ramlee meninggal akibat serangan jantung)
P. Ramlee dies of heart attack (P. Ramlee meninggal akibat serangan jantung)
'Kehilangan sukar diganti' - Tun Razak
‘Kehilangan sukar diganti’ – Tun Razak

Upacara Pengkebumian

Jenazah P. Ramlee telah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Orang ramai hadir ke upacara pengkebumian jenazah P. Ramlee sebagai tanda penghormatan terakhir.

Jenazah P. Ramlee diziarahi oleh anak dan rakan seni
Jenazah P. Ramlee diziarahi oleh anak dan rakan seni
Jenazah P. Ramlee dibawa untuk disemadikan
Jenazah P. Ramlee dibawa untuk disemadikan
Orang ramai hadir untuk memberi penghormatan terakhir
Orang ramai hadir untuk memberi penghormatan terakhir
Solat jenazah P. Ramlee
Solat jenazah P. Ramlee

P. Ramlee dalam Kenangan

History Channel telah menerbitkan sebuah video dokumentari biografi P. Ramlee selama 90 minit yang disiarkan di Astro Channel 555.

Pusara P. Ramlee di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang
Pusara P. Ramlee di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang

P. Ramlee adalah satu nama besar dalam sejarah seni dan budaya bangsa khususnya dalam bidang muzik, lagu, lakonan dan perfileman. Sebagai seorang insan seni, P. Ramlee telah berjaya membentuk cara, gaya dan disiplin yang tersendiri dalam bidang berkenaan dan inilah yang menjadikan karya-karya beliau masih tetap segar dalam sanubari anak bangsanya hingga kini. Lagu-lagu dan filem-filem lakonan dan arahannya adalah bersifat klasik dan diminati sehingga hari ini. Karya beliau jelas bukan sekadar hiburan sahaja malah ia adalah satu himpunan khazanah yang membicarakan tentang cita-cita, harapan, impian, nilai, kesucian agama, kemelut sosial dan keagungan sejarah bangsanya. Semuanya ini dipaparkan dalam karya-karyanya bersama-sama dengan pandangan, pendapat dan saranan beliau untuk didengar dan ditatap. Demikian besarnya karya beliau yang semestinya menjadi iktibar, panduan dan rujukan ilmiah untuk generasi masa kini. Pemergian beliau masih segar dalam ingatan dan pasti akan terus kekal sampai bila-bila.

Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga
Biar alam hancur dan musnah
Jasa mu tetap dikenang juga

Semoga Allah S.W.T mencucurkan rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah.